Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam merupakan nama khusus bagi pegawai yang dilantik sebagai Pembimbing Rakan Sekerja sepertimana dikehendaki dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 18 Tahun 2005.
Rakan Pembimbing merupakan agen penggerak kepada pelaksanaan budaya kerja kelas pertama dalam perkhidmatan awam. Ia diwujudkan dengan objektif bagi menyediakanperantaraan untuk memberi peluang pegawai berfungsi secara efektif dalam usaha membantu Pengurus Sumber Manusia di agensi. Disamping itu, visi Rakan Pembimbing juga menjadi penyumbang kepada usaha modal insan dalam Pengurusan Sumber Manusia.
AKRAB (dahulunya dikenali sebagai AKRAM) membawa maksud Amanah, Komitmen, Rasional, Akhlak dan Bestari merupakan ciri-ciri penting yang perlu ada pada seorang rakan pembimbing. Tanpa ciri-ciri tersebut, peranan seseorang dalam menjalankan fungsi rakan pembimbing kurang berkesan.
AKRAB juga merupakan penjenamaan semula versi rakan pembimbing, pembimbing rakan sekerja, pegawai khidmat nasihat, pegawai khidmat kaunseling dan pelbagai nama yang merujuk kepada peranan sebagai rakan pembimbing di agensi. Ini bermakna, di dalam perkhidmatan awam, pegawai yang memainkan peranan sebagai rakan pembimbing keseluruhannya akan dikenali sebagai AKRAB.
Penubuhan Majlis AKRAB Kebangsaan atau ringkasannya MAK adalah lanjutan resolusi Konvensyen AKRAM pada 1 – 2 April 2009 anjuran AKRAM Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). YBhg. Dato’ Dr. Ismail bin Alias, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi) JPA meminta BPPs JPA mengkaji dan menyelaraskan penubuhannya serta menjenamakan AKRAM kepada AKRAB mulai Disember 2009.